Al-Quran Buat Quraysh Bersujud Dan Melembutkan Hati Umar R.A Yang Keras Namun MAL4NG Sekali Jika Tidak Berkesan Kepada Kita…

Al-Quran Merawat Hati Yang Keras

1. Sayyid Qutb di dalam karyanya menukilkan kisah bagaimana al-Walid ibn Mughirah, seorang pembesar Qurasyh yang tersohor memberikan reaksinya mengenai al-Quran. Beliau pada suatu hari diminta oleh Abu Jahal untuk memberikan pandangan tentang al-Quran. Setelah mendengar al-Quran, al-Walid berkata:

صبأ والله الوليد، ولتصبون قريش كلها

“Sesungguhnya (aku) al-Walid telah terpukau (mendengar al-Quran ini), dan pasti Quraysh akan terpukau mendengarnya.”

Reaksi al-Walid ini membuatkan Abu Jahal kecewa. Al-Walid adalah tokoh Quraysh yang hebat. Bukan sahaja beliau hebat, anak beliau Khalid al-Walid juga adalah tokoh Islam yang terkemuka. Namun, apabila mendengar bacaan al-Quran ini, al-Walid menjadi tersentuh dengan keindahan al-Quran.

2. Ibn Hisham pula meriwayatkan kisah bagaimana ‘Utbah ibn Rabiah, seorang pembesar Qurasyh yang datang menawarkan kepada Rasulullah ﷺ harta serta pangkat dengan harapan supaya Rasulullah ﷺ berhenti daripada berdakwah. Setelah selesai dari segala tawaran tersebut, Rasulullah ﷺ membacakan kepada beliau potongan ayat dari surah Fussilat. Sehinggalah apabila Rasulullah ﷺ membaca ayat sujud (sujud sajdah), Utbah turut sujud bersama-sama dengan Rasulullah ﷺ. Lihatlah bagaimana Utbah yang pada awalnya datang untuk menghentikan dakwah Rasulullah ﷺ, akhirnya sujud bersama Rasulullah ﷺ setelah mendengar al-Quran.

3. Al-Bukhari pula meriwayatkan kisah bagaimana Rasulullah ﷺ surah al-Najm di hadapan khalayak ramai. Abdulullah ibn Mas’ud yang menyaksikan peristiwa ini berkata:

أن النبي صلى الله عليه وسلم قرأ بالنجم فسجد، فلم يبق أحد إلا سجد

“Sesungguhnya Rasulullah ﷺ membaca surah al-Najm, lalu Baginda sujud dan tidak ada seorang Quraysh yang mendengar surah tersebut melainkan sujud bersama Baginda.”

4. Begitu juga kisah Saidina Umar yang popular yang mendengar Surah Taha sehingga menjadi punca kepada keIslaman beliau.

5. Jelas melalui penyaksian di dalam Sirah Rasul ﷺ ini, bahawa manusia yang keras hatinya menjadi terpukau dan terpesona dengan al-Quran. Hati mereka turut lunak menghayati maksud yang ingin disampaikan.

Jangan tinggalkan membaca al-Quran setiap hari. Ia merawat hari yang keras. Ia memenuhkan jiwa yang kosong. Semoga Allah membimbing kita.

Sumber; Dr Ahmad Sanusi

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*