Allahu Akbar!, Bro Nasir – usahawan tunggal Melayu yang HEBAT di bumi Kanggaru

Sempena kempen dan semangat mengutamakan produk muslim ini, saya ingin berkongsi tentang kisah seorang usahawan melayu muslim hebat yang saya kenali dan temui di bandar Melbourne Australia ketika bertamu di sana baru-baru ini.

Akhlak dan kisah hidupnya sangat mengagumkan saya, dari seorang yang datang ke bumi Kangaroo ini dengan tangan kosong hingga menjadi usahawan berjaya yang banyak menyumbang ke arah usaha dakwah. 

Saya panggil beliau abang Nasir…

 

Beliau banyak menemani saya dan keluarga kerana kami bertamu di rumahnya sepanjang kami di sini.
Kami cukup terkesan dengan sifat mulia keluarga abang Nasir yang sangat pemurah serta mencurah segala khidmat meraikan tetamu mereka ini dengan sebaik yang mampu dibayangkan. Mereka terlalu-lalu-lalu baik pada kami! Hanya Allah mampu membalas kemuliaan mereka sekeluarga.

Kisah mereka bermula sekitar 16 tahun lepas…

Abang Nasir dan isterinya kak Har datang berhijrah ke bumi Australia dengan hanya membawa 600$ yang nilainya di sini seakan 600 ringgit di Malaysia. Awalnya mereka memiliki sekitar $6/7000 sebagai bekalan, namun di saat akhir mereka terpaksa membelanjakan hampir kesemuanya untuk urusan perubatan yang tidak dijangka.

Hasrat dan perancangan mereka untuk berhijrah diteruskan jua. Ketika awal mereka tiba di sini, seakan tiada hala tuju dan perancangan, namun sementara menanti proses PR (penduduk tetap), mereka perlu bekerja. Abang Nasir yang tiada pilihan ketika itu telah melakukan pelbagai kerja termasuk mencuci tandas, sehingga beliau diterima bekerja sebagai jurujual di sebuah syarikat kertas gulung, sehingga tidak lama kemudian beliau ditipu dan ditindas oleh majikannya.

Beliau yang ketika itu perlu menyara isteri dan dua anaknya tersangat runsing memikirkan nasib dirinya dan keluarga yang sangat menghimpit ketika itu. Kebetulan ejen yang menguruskan status pemastautin memaklumkan mereka bahawa permohonan mereka tiada masalah melainkan sekiranya ada penyakit berjangkit seperti A1DS dan TB (batuk kering).

Takdir Allah yang menguji mereka, hanya tidak berapa lama kemudian, abang Nasir diserang penyakit TB!

Beberapa duit simpanannya terpaksa digunakan untuk rawatan sementara beliau dikuarantin. Tatkala beliau di katil, beliau tidak lena memikirkan nasib keluarganya sekiranya tiada punca pendapatan, apatah lagi memikirkan mereka terpaksa pulang kerana berkemungkinan gagal dalam status permohonan PR mereka.

Hikmah di sebalik sakit dan ujian yang dihadapi penuh kesabaran, Allah telah mencorakkan perjalanan mereka ke arah kebaikan yang tidak dijangka. Abang Nasir teringat akan pengalamannya sebagai jurujual kertas sebelum ini di syarikat yang men1pu beliau.

Hikmah tersembunyi…

Beliau berusaha menghubungi pelanggan syarikat tersebut yang sebelum ini pernah berurusan dengannya untuk cuba menjual sedikit kertas di kala terdesak itu. Tidak disangka beliau berhasil mendapat pelanggan dan menjual beberapa kotak kertas dengan hanya melalui telefon di atas katil! 

Kak Har isterinya yang sangat kental dan penyabar banyak membantu ketika itu. Salah seorang keluarga mereka memberitahu, mungkin abang Nasir patut mencuba perniagaan ini memandangkan bakat terpendamnya yang mampu menjual walau terbaring di atas katil.

Setelah abang Nasir sembuh, beliau yang dibantu oleh isterinya meneruskan nasib mereka dalam perniagaan tersebut. Pada awalnya mereka hanya mampu menjual sekitar 6-7 kotak sahaja seminggu, kemudian meningkat sedikit demi sedikit saban tahun.

Sehinggalah sekitar 3 tahun lepas, berlaku perubahan positif mendadak yang melonjakkan perniagaan mereka sehingga mampu mengimport 15-18 kontena dan menjadi pengedar utama di pelbagai bandar negara ini! Apakah punca lonjakan positif tersebut yang mengubah kehidupan mereka?

Ini rahsianya!

Pada tahun 2015, ibu atau ayah salah seorang abang Nasir atau kak Har ditimpa sakit yang memerlukan kos rawatan yang tinggi. Mereka terus berusaha serta bersabar menjaga dan mendampingi orang tua mereka sebaiknya di samping perniagaan mereka.

Keutamaan ibu dan ayah diletak mendahului segalanya walaupun perlu menghabiskan simpanan wang mereka untuk kos rawatan.Barangkali doa sang ibu atau ayah yang mendoakan rezeki mereka dimurahkan serta diberkati, sejak itu perniagaan mereka tiba-tiba ‘meletup’!

Pelbagai rezeki datang dengan tidak disangka-sangka! Pelbagai urusan mereka seakan dipermudah!

Pasangan ini langsung tidak pernah menyangka mampu menjual walau separuh kontena, namun kini mampu mengimport sehingga 20 kontena dengan sekitar 1000 pelanggan dari seluruh negara serta memiliki jenama dakwat sendiri iaitu POSPRINT.

Syarikat mereka yang bernama H & R Services dan telah beroperasi selama 12 tahun kini memiliki gudang sendiri yang besar di bandar Victoria Melbourne, dan sedang dalam perancangan meluaskan perniagaan mereka ke luar negara pula.

Nak tahu apa yang terjadi pada syarikat lama yang menzalimi mereka dahulu? Gulung tikar!

Hampir kesemua pelanggannya telah ‘lari’ menjadi pelanggan abang Nasir. Orang yang zalim tidak akan pernah lepas dari balasan Allah. Ingat tu! Berkat kegigihan mereka yang bijak menguruskan harga yang minimum disertai kualiti produk yang menjadi punca pilihan ramai pengedar dan pembeli, mereka kini boleh berbangga sebagai usahawan melayu muslim yang berjaya mengharungi cabaran di negara asing.

Namun kejayaan tersebut tidak sedikit pun menjadikan mereka tinggi diri, bahkan tersangatlah merendah diri ‘menyembah bumi’ dan aktif menyumbang serta berkhidmat buat agama Allah di bumi yang mendambakan agama-Nya tersebar di seluruh pelusuknya.

Benarlah Allah Maha Pemberi Rezeki bagi mereka yang sentiasa membelanjakan rezeki kurniaan-Nya di jalan-Nya, dan benarlah rezeki Allah itu buat anak mulia yang berbakti kepada orang tua dan sering membelanjakan harta di jalan-Nya. Itu janji Allah yang tidak pernah memungkiri!

Moga Allah kurniakan syurga buat mereka, murahkan rezeki mereka dan berkati kehidupan mereka sekeluarga supaya sentiasa dalam rahmat-Nya.

اللهم بارك!

Sumber; Kamilin Jamilin – Seni Hadith

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*