Re-visit; Jemaah Haji Ni Cuma Mampu Beli Tiket Kapalterbang dan Visa Sahaja, Yang lain Serah Pada Allah…

Kalaulah dah tak tahan sangat dengan bilik hotel, sesekali cubalah datang ke dataran Masjid Nabawi pada waktu malam. Berjalanlah dari hujung sana ke hujung sini. Hayatilah pemandangan malam indah di Kota Bercahaya ini. Pasti kalian akan terserempak dengan ramainya jemaah yang tidur bergelimpangan di sekitarnya. Ada yang masih tidur-tidur ayam, kejap beralih ke arah sini, kejap pusing ke sebelah sana. Ada juga yang sudah dibuai mimpi malam, suara dengkurannya memecahkan suasana.

Aku duk perhati, biasanya mereka ini datang daripada India, Pakistan dan Bangladesh. Nak tentukan yang mana satu, itu aku tak berapa mahir. Wajah mereka seiras saja dari kaca mata aku. Namun, seperkara yang tersirat di sebaliknya adalah mereka semua tidak mempunyai tempat tidur seselesa kita.

Ada yang hotelnya jauh sekali, keluar pagi balik malam. Keluar malam balik pula pagi. Tak mampu nak ulang alik setiap waktu solat. Ada juga yang datang ke mari hanya berbekalkan tiket kapal terbang dan visanya sahaja. Hotel penginapan seperti tiada dalam kamus hidup mereka. Tak ada tempat yang berupaya mengganggu tidur lena mereka. Asal pejam mata saja, fikiran sudah melayang di awangan.

Dalam kepala mereka hanya fikirkan nak sampai ke Tanah Haram saja. Keperluan dan kelengkapan lain, cukup ke tak cukup, itu cerita nombor dua. Yang penting, sampai dulu. Selebihnya boleh fikir di kemudian hari. Biasanya mereka ini umurnya sudah masuk ke kategori warga emas. Sepatutnya adalah ruang tidur yang selesa. Paling kurang atas toto pun tak apa dah.

Cubalah perhatikan wajah redup mereka. Tuhan hadirkan insan seperti mereka ini bukan sia-sia. Tuhan nak ajar kita erti bersyukur. Tuhan nak tunjukkan dekat kita betapa beruntungnya kita semua. Mampu untuk bayar pakej. Walaupun ambil yang paling murah, namun masih ada tempat menginap. Masih ada tempat untuk pulang berehat di atas tilam spring. Masih ada ruang untuk balik mandi sejukkan badan. Tak perlu susah-susah fikir nak masak apa, semua dah tersedia.

Bagi aku, negara kita punya pakej travel dah okey dah. Banyak kemudahan yang ada. Harga pun tak adalah mahal sangat kalau nak bandingkan dengan negara lain. Kawan Indonesia aku bagitahu, mereka di negaranya sampaikan berhutang semata-mata nak datang umrah. Dahsyat kan?

Kadang-kadang kita merungut dapat hotel yang jauh sikit dari sangkaan awal. Benar, tak ada salahnya. Kita ada hak untuk dapatkan yang sepatutnya sesuai dengan bayaran asal. Namun, sekali-sekala untuk menjaga hati daripada dicucuk jarum halus sya1tan, bertenang adalah lebih baik.

Aku nampak jemaah negara kita ini, boleh dikatakan antara yang bertuah dan mewah. Hotel semuanya dekat-dekat. Sampaikan ada yang keluar saja dari pintu lobi, terus terpampang di depannya pagar masjid. Beruntung sangat. Sesetengah jemaah yang lain, terpaksa ulang alik dengan menaiki bas. Berjalan kaki dengan jarak yang jauh. Yang mana semua ini boleh jadi faktor utama kita kecundang awal dalam mengejar kelebihan solat di Masjid Haramain ini. Yelah, sehari dua boleh tahan lagi. Lama-lama, habislah.

Tiap kali nak tidur, ingatlah mereka yang tidurnya bertilamkan marmar dataran masjid. Bumbungnya langit luas berbintangkan seribu. Udaranya asli, hangat dan dingin tika musimnya tiba. Mudah-mudahan menjadikan kita seorang hamba yang bersyukur. Sesungguhnya Tuhan akan lipat gandakan nikmat itu tiap kali terbitnya rasa syukur dalam diri.

Sumber; Najmi Farisham

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*