Upah Haji; ini apa yang anda MESTI tahu sebelum melaksanakannya…

Najmi Farisham

Musim haji dah dekat begini, ramailah yang mencari sesiapa yang boleh buatkan badal. Aku sendiri pun terima banyak permintaan, minta suruh buat dan carikan mereka sekali.

Namun setiap kali orang mesej itulah, aku jadi serba salah. Serba salah nak beritahu harganya. Ya, aku tahu mereka mencari kenalan yang memang sudah berada di Mekah dan Madinah dengan harapan kos pengurusannya tidaklah terlalu mahal. Selain daripada mendapatkan khidmat pelajar yang benar-benar arif soal ini.

Aku faham sangat, sebab lepas kita nyatakan harganya semua akan senyap seribu bahasa. Paling kurang ada yang respon, “Peh, mahalnya!”

Jadi aku mula risau orang akan katakan aku ambil kesempatan di atas kesusahan orang ramai, atas rasa terdesak orang sekeliling.

“Ingatkan dah duduk Arab Saudi dapatlah seribu riyal,” ungkap salah seorang.

Jujurlah aku katakan, kawan.

Kos untuk buat badal haji oleh kami yang sudah berada di Mekah dan Madinah ini tak dapat dengan cuma RM2500, RM3000 begitu. Memang tak dapat.

Pertamanya nilai mata wang ringgit Malaysia dengan riyal Saudi tak sama. Ringgit dilihat lebih rendah. Jadi di situ dah ada beza.

Yang kedua adalah kos sara hidup di Arab Saudi sudah meningkat naik. Dulu orang duk bermegah dengan minyak seliter cuma 50 sen. Kini nak dapatkan seliter, dah kena bayar hampir SAR2.30. Kalian mesti boleh bayangkan kesannya terhadap kehidupan seharian.

Kawan, kos pengangkutan kami dari Madinah ke Mekah perlu dikira sekali. Kemudian dari Mina ke Arafah, Arafah ke Muzdalifah, Muzdalifah kembali ke Mina dan seterusnya dari Mina nak ke Masjidilharam juga kita kira sekali kosnya. Akhir sekali daripada Mekah nak kembali ke Madinah.

Contoh Mina nak ke Masjidilharam, jaraknya tak sampai 5 kilometer. Kalau musim biasa dapatlah tambang 10 riyal. Musim haji ini, tahan nafas sajalah kalau pemandu prebet minta SAR150 sehala. Taknak naik? Ha berjalanlah.

Selain itu, penginapan kami juga perlu dimasukkan sekali dalam senarai perbelanjaan. Biasanya musim haji begini, kita sewa sebuah rumah duduk dengan kawan-kawan. Pakat-pakat bayar. Dan ghalibnya tuan rumah tetapkan untuk menyewa paling pendek, sebulan tempohnya. Bukan boleh buat seminggu dua.

Setelah itu, makan minumlah pula. Kita pun kena tahu berjimat, takkanlah nak beli makan di kedai selalu. Masaklah, mudah. Jimat pun ya.

2 tahun lepas, kawan aku pernah terima badal dengan harga RM4500 seorang. Kalau convert ke riyal, mungkinlah dapat SAR4100. Dengan harga begini, agak kena berjimat betul. Boleh jadi terpaksa gunakan duit sendiri pula. Tapi susahlah nak jumpa mereka yang sanggup dengan harga begini.

Itu 2 tahun lepas. Tahun ini? Setelah minyak naik berkali ganda harganya. Aku tak nak ungkapkan kalimah ini. Fuh. Itu belum kira lagi kalau buat haji Tamattu’ dan Qiran yang memerlukan dam hadyu sebagai k0rban. Mana nak cari duit untuk seekor kambing?

Kawan, kami di sini tidak ditanggung sesiapa untuk buat haji seperti Tabung Haji. Segala urusan pengangkutan, penginapan, makan minum diuruskan sendiri. Kalau ada yang tanggung semuanya, mungkin bolehlah bayar dengan harga RM2000.

Aku katakan begini bukanlah nak raih simpati orang ramai, tidak sama sekali. Cuma sebagai penjelasan kenapa harga yang diminta, mahal. Kerana segala urusannya membutuhkan nilai yang tinggi, itu dan ini.

Kalau harganya mahal bukan-bukan, tak usahlah paksa diri. Aku tuliskan ini bukannya nak naikkan market kami. Kalau orang tak kenal, tak payahlah terima. Selidiklah dulu. Ya, aku tahu bukan semua orang mampu keluarkan duit ribu-riban macam keluarkan duit seringgit dua.

Rakan-rakan yang duk mesej minta tolong itu, aku beri harga sekitar RM4500-RM5000. Bukan aku yang buatkan badal. Aku tolong carikan saja tanpa ambil imbuhan sesen buat diri sendiri. Memang nak tolong. Dan aku pilih dulu kawan-kawan yang sudi terima amanah ini.

Aku pun tak nak beri yang lebih daripada itu. Kes1anlah, orang nak selesaikan hutang dengan Tuhan ini cepat-cepat. Di samping itu, aku kena juga fikirkan soal pelaksana badal itu sekali.

Itulah.

Najmi Farisham,
Wartawan Kegemaran Kalian.

Sumber; Najmi Farisham

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*