Wujudkah Qiyam Di Siang Hari?

Dr Ahmad Sanusi

1. Arahan untuk mendirikan Qiyamullail (bangun pada malam hari) jelas disampaikan oleh Allah melalui Surah al-Muzammil. Firman Allah:

يَا أَيُّهَا الْمُزَّمِّلُ قُمِ اللَّيْلَ إِلَّا قَلِيلًا

“Wahai orang yang berselimut, bangunlah (dirikanlah Solat) pada sebahagian malam.”

2. Namun sedarkah kita, bahawa arahan Qiyam juga turun untuk dilaksanakan pada siang hari. Lafaz yang sama (iaitu lafaz Qum) digunakan oleh Allah kepada Rasulullah untuk bangun Qiyam di siang hari. Firman Allah:

يَا أَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ. قُمْ فَأَنذِرْ

“Wahai orang yang berselimut, Bangunlah dan berilah peringatan!”

3. Menurut Dr. Raisuni (Pengerusi Kesatuan Ulama Dunia), inilah yang dikatakan sebagai Qiyamunnahar (iaitu Qiyam pada siang hari). Rasulullah menerima arahan yang sama untuk mendirikan malam dengan solat dan tahajjud. Begitu juga Rasulullah menerima arahan yang sama untuk mendirikan Qiyam pada siang hari dengan usaha dakwah.

4. Malah, arahan untuk mendirikan Qiyam pada siang hari turun lebih awal dari arahan Qiyamullail. Dengan sebab itu Dr. Raisuni menjelaskan bahawa dalam situasi kita pada hari ini, arahan untuk Qiyamunnahar lebih utama.

5. Memandangkan terlalu banyak cabaran yang dihadapi oleh umat Islam dari aspek cabaran pemikiran seperti serangan pemikiran Liberal, Plural dan Sekular, umat Islam perlu menggandakan lagi usaha dalam dakwah dan menangani salah faham pemikiran sebegini.

6. Sebagaimana Rasulullah sibuk mendirikan Qiyamullail pada malam hari, sebegitulah juga Baginda menyibukkan dirinya dengan dakwah pada siang hari. Itulah yang dinamakan sebagai Qiyamunnahar.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi

Sumber; Dr Ahmad Sanusi

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*